PBS oh...PBS

Sistem pendidikan negara kita kini sedang ditransformasikan kepada satu sistem baru untuk penambahbaikan yang dikenali sebagai PBS atau Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Ramai guru khususnya yang merungut dengan trasformasi ini...kerana bebanan tugasa guru semakin bertambah...apa yang anda faham tentang PBS??


SOALAN-SOALAN LAZIM PBS:


PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

1) Apakah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)?

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS ini mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning.
PBS mentaksir bidang akademik dan bidang bukan akademik. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan oleh pihak sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.
Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

2) Apakah pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif?

Pentaksiran formatif adalah pentaksiran yang dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran.
Pentaksiran sumatif adalah pentaksiran yang dijalankan di akhir unit pembelajaran, semester atau tahun.


3) Adakah PBS sesuatu yang baharu?
Tidak, PBS telah dilaksanakan oleh guru di sekolah seperti PEKA, ULBS, PLBS, PAFA, projek, kuiz, soal-jawab, persembahan dan lain-lain.

4)Bilakah PBS mula dilaksanakan?

PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada tahun 2011 dan Tingkatan 1 pada tahun 2012.

5)Apakah komponen PBS?

Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

6)Apakah Pentaksiran Sekolah (PS)?

Pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah yang berkenaan.
PS dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.
PS berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning).

7)Adakah seseorang murid itu mesti menguasai setiap deskriptor untuk menentukan band yang dicapainya?

Ya, murid mesti menguasai setiap deskriptor untuk menentukan band yang dicapainya. Penguasaan setiap deskriptor membuktikan murid telah menguasai semua standard kandungan/hasil pembelajaran bagi band berkenaan.

8)Adakah murid boleh ditaksir pada band yang lebih tinggi walaupun dia belum menguasai setiap deskriptor dalam band terdahulu?

Boleh, murid boleh ditaksir pada band yang lebih tinggi walaupun dia belum menguasai setiap deskriptor dalam band terdahulu kerana guru mengajar berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum (DSK)/Sukatan Pelajaran.Walau bagaimanapun, murid perlu menunjukkan evidens bahawa murid telah menguasai deskriptor dalam band yang terdahulu.

9)Apakah Pentaksiran Pusat (PP)?

PP adalah pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah dengan peraturan pentaksiran, instrumen pentaksiran, tugasan, garis panduan, peraturan penskoran, penggredan dan pelaporan dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

10)Apakah jenis tugasan PP?

Terdapat dua jenis tugasan PP iaitu tugasan jangka panjang dan tugasan jangka pendek. Tugasan jangka panjang dilaksanakan dalam tempoh 3 hingga 4 minggu dan tugasan jangka pendek dilaksanakan dalam tempoh 2 minggu.

11)Bilakah PP dilaksanakan dalam PBS?

PP bagi sekolah rendah dilaksanakan pada Tahap 2.
PP bagi sekolah menengah dilaksanakan pada Tingkatan 2 dan Tingkatan 3.

12)Apakah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)?

PAJSK adalah pentaksiran yang ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstra kurikulum. Manakala Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Body Mass Index (BMI) dilaksanakan untuk menilai dan melaporkan aktiviti fizikal murid.

13)Bilakah PAJSK dilaksanakan dalam PBS?

PAJSK bagi sekolah rendah dilaksanakan pada Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6.
PAJSK bagi sekolah menengah dilaksanakan pada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

14)Apakah Pentaksiran Psikometrik (PPsi)?

PPsi dilaksanakan di sekolah untuk mengukur kebolehan semula jadi dan kebolehan yang diperoleh, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat kerjaya, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

15)Bilakah PPsi dilaksanakan dalam PBS?

PPsi bagi sekolah rendah dilaksanakan pada Tahun 4 dan Tahun 6.
PPsi bagi sekolah menengah dilaksanakan pada Tingkatan 1, Tingkatan 3 dan Tingkatan 4.

16)Apakah pentaksiran rujukan standard?

Pentaksiran Rujukan Standard melaporkan prestasi atau tahap penguasaan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard bagi setiap mata pelajaran. Pernyataan standard ini ditetapkan mengikut tahap-tahap penguasaan seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Dalam pentaksiran ini, standard prestasi digunakan untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.

17)Apakah kelebihan pentaksiran rujukan standard?

Pentaksiran Rujukan Standard melaporkan prestasi atau tahap penguasaan murid dalam pembelajaran.
Murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.

18)Apakah Dokumen Standard Prestasi (DSP)?

Dokumen Standard Prestasi (DSP) mengandungi panduan untuk mentaksir dan melapor penguasaan murid mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum. Dokumen ini merangkumi band, pernyataan standard, deskriptor dan evidens.

19)Apakah Standard Prestasi?

Standard prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang tahap-tahap penguasaan seseorang murid dalam sesuatu bidang atau mata pelajaran yang dipelajari. Dalam satu tempoh pembelajaran, murid ditaksir berdasarkan penanda aras (benchmark) yang terdapat dalam standard prestasi. Guru menggunakan standard prestasi sebagai rujukan untuk menentukan aktiviti pentaksiran dilaksanakan secara adil dan berfokus.

20)Apakah fungsi DSP?

DSP dibina sebagai panduan untuk guru menambahbaik Pentaksiran Sekolah sejajar dengan pelaksanaan Pentaksiran Rujukan Standard.

21)Adakah sekolah perlu melaksanakan (Penilaian Kerja Amali Sains (PEKA), Penilaian Lisan Berasaskan
Sekolah/Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS/ULBS) dan kerja kursus KHB Tingkatan 1?

PEKA dan PLBS/ULBS perlu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada PS.
Kerja kursus bagi KHB tidak perlu dilaksanakan di Tingkatan 1.

22)Apakah penambahbaikan dalam PBS?

KPM telah membuat beberapa penambahbaikan antaranya melaksanakan Pentaksiran Rujukan Standard, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan perekodan penguasaan murid dalam aplikasi Sistem Pengurusan

PENGOPERASIAN PBS

2.1
Bagaimanakah pengoperasian PBS dilaksanakan di sekolah?
Pengoperasian PBS hendaklah dilaksanakan berdasarkan dokumen Panduan Pengurusan PBS, surat pekeliling dan surat siaran PBS yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan.

2.2
Bagaimanakah keahlian JK PBS Sekolah di Sekolah Kurang Murid?
Seorang guru perlu memegang lebih daripada satu portfolio dalam JK PBS Sekolah.

2.3
Adakah LINUS boleh digunakan dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah?
Tidak boleh kerana LINUS merupakan satu program untuk mengenal pasti murid yang tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
PBS pula ialah satu sistem dan dalam PS murid ditaksir berdasarkan kehendak standard pembelajaran yang terdapat dalam mata pelajaran berkenaan.

2.4
Perlukah Ujian Bulanan dan Peperiksaan Akhir Tahun diadakan?
Bergantung kepada keperluan / objektif / tujuan ujian tersebut diadakan.
Sekiranya bertujuan mendapatkan kedudukan murid, skop ujian boleh merentasi semua konteks dan konstruk (pengetahuan dan kemahiran yang diukur) dalam mata pelajaran tersebut.
Sekiranya JK PBS sekolah memutuskan untuk mendapatkan kedudukan bagi murid-murid dalam band-band tertentu, soalan atau tugasan ujian tersebut hendaklah berdasarkan evidens dalam dokumen standard prestasi.

2.5
Perlukah murid yang baru pulang dari bermastautin di luar negara/tidak hadir ke sekolah melaksanakan PS yang terdahulu?
Tidak perlu kerana PS dilaksanakan semasa pengajaran dan pembelajaran.

2.6
Bolehkah murid yang belum menguasai kemahiran/pengetahuan dalam PS ditaksir semula?
Boleh, murid boleh ditaksir semula.

2.7
Perlukah murid yang baru pulang dari bermastautin di luar negara/tidak hadir ke sekolah melaksanakan PP yang lepas?
PP dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan oleh LP. PP tidak boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh yang dijadualkan.

2.8
Adakah murid dibenarkan memohon pengecualian dari melaksanakan PBS?
Tidak timbul isu pengecualian kerana pentaksiran dijalankan mengikut tahap pencapaian murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

2.9
Bagaimanakah pelaksanaan PBS bagi murid dari golongan OKU?
Murid akan ditaksir dan dinilai menggunakan standard prestasi khas dan mekanisme yang sesuai. Pentadbir sekolah hendaklah menyediakan segala keperluan khas murid berkenaan seperti perkhidmatan, peralatan atau perisian khas dalam pentaksiran PBS.

2.10
Bolehkah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) menjadi pentaksir?
Boleh, GSTT telah dilantik untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

2.11
Bagaimanakah ibu bapa mendapat maklum balas tentang prestasi anak mereka?
Laporan prestasi dapat dijana melalui SPPBS di sekolah pada bila-bila masa yang diperlukan. Laporan dalam bentuk deskriptif ini memberi maklumat tentang tahap penguasaan murid dalam pembelajaran.

2.12
Bolehkah pentaksiran yang dibuat oleh guru dipercayai?
Boleh kerana guru merupakan orang yang paling layak untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:
• boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
• boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
• lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
• mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

2.13
Siapakah yang mengeluarkan laporan prestasi murid?
Guru mata pelajaran boleh menjana laporan prestasi murid melalui aplikasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS)

2.14
Bolehkah murid mendapatkan laporan prestasi bila diperlukan?
Boleh, laporan prestasi boleh diperoleh daripada guru mata pelajaran .

3
PENGURUSAN EVIDENS MURID

3.1
Apakah evidens?
Evidens terbahagi kepada dua iaitu evidens murid dan evidens bahan.
Evidens murid merujuk kepada keupayaan sebenar murid tentang apa yang dia tahu dan boleh buat secara lisan atau perlakuan.
Evidens bahan merujuk kepada apa-apa bukti produk atau proses seperti foto, grafik, artifak, laporan dan lain-lain yang dihasilkan oleh murid dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

3.2
Di manakah evidens murid disimpan?
Evidens murid hendaklah disimpan dalam Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Fail Showcase (FS).

3.3
Apakah Fail Perkembangan Murid?
Fail Perkembangan Murid (FPM) ialah fail yang menyimpan evidens perkembangan pembelajaran murid.
Seorang murid mempunyai satu FPM yang mengandungi evidens semua mata pelajaran.
Setiap evidens hendaklah direkodkan dalam Borang Rekod Perkembangan Murid.
FPM menyimpan evidens terkini bagi setiap deskriptor. Evidens terdahulu dikembalikan kepada murid.

3.4
Perlukah soalan dari buku teks dan buku aktiviti dibuat salinan dan dimasukkan ke dalam FPM?
Tidak perlu, memadai dengan guru merekodkan penguasaan murid dalam Borang Rekod Perkembangan Murid dan SPPBS.

3.5
Siapakah yang bertanggungjawab mengemaskini FPM?
Guru mata pelajaran bertanggungjawab mengemaskini evidens PS.
Guru tingkatan bertanggungjawab mengemaskini evidens PAJSK.

3.6
Adakah FPM SULIT?
Tidak.

3.7
Apakah evidens bagi kemahiran Mendengar dan Bertutur?
Murid adalah evidens bagi kemahiran mendengar dan bertutur.

3.8
Apakah Fail Showcase (FS)
Fail Showcase (FS) ialah fail yang menyimpan setiap evidens terbaik bagi semua deskriptor untuk semua mata pelajaran. FS hendaklah dijadikan rujukan piawaian evidens. FS hendaklah disediakan mengikut tingkatan atau kelas.

3.9
Bolehkah FS disediakan di hujung tahun?
FS perlu disediakan pada awal tahun dan dikemaskini sepanjang tahun.

3.10
Bilakah evidens Pentaksiran Sekolah murid boleh dilupuskan?
Evidens hendaklah diserah semula kepada murid setelah direkod dalam aplikasi SPPBS.
Evidens yang tidak dituntut oleh murid boleh dilupuskan selepas dua minggu daripada tempoh direkod dalam aplikasi SPPBS.

4
PENJAMINAN KUALITI

4.1
Apakah maksud penjaminan kualiti?
Penjaminan kualiti merupakan piawaian untuk menentukan kualiti pelaksanaan PBS mengikut garis panduan yang ditetapkan. Penjaminanan Kualiti dilakukan melalui Pementoran, Penyelarasan, Pemantauan dan Pengesanan.

4.2
Apakah pementoran?
Pementoran adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru. Pementoran dalam konteks Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah satu proses yang diijalankan untuk penjaminan kualiti bagi membantu, memudah cara, membimbing, meningkatkan pengetahuan dan kefahaman guru untuk melaksanakan PBS mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan. Pementoran dalaman dilaksanakan oleh Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Panitia, Jurulatih Utama, Guru Cemerlang, Pengetua/Guru Besar atau guru. Manakala pementoran luaran dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan/Jabatan Pelajaran Negeri/Pejabat Pelajaran Daerah.

4.3
Apakah pemantauan?
Pemantauan adalah satu proses penjaminan kualiti bagi memastikan pelaksanaan PBS mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh LP.
Kekerapan aktiviti pemantauan adalah sepanjang tempoh pelaksanaan PBS dan mengikut jadual yang ditentukan oleh JK PBS.
Pemantauan dalaman dilaksanakan oleh Pentadbir Sekolah, Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Panitia, Jurulatih Utama, Guru Cemerlang atau guru.
Manakala pemantauan luaran dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan/Jabatan Pelajaran Negeri/Pejabat Pelajaran Daerah atau Bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia.

4.4
Apakah penyelarasan?
Penyelarasan adalah satu proses penjaminan kualiti untuk memastikan keseragaman pelaksanaan tugasan dan penskoran demi keadilan kepada calon serta kesahan dan kebolehpercayaan skor pentaksiran.
.
Penyelarasan dalaman dilaksanakan oleh Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Panitia, Jurulatih Utama, Guru Cemerlang atau guru. Manakala penyelarasan luaran dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan/Jabatan Pelajaran Negeri/Pejabat Pelajaran Daerah.

4.5
Apakah pengesanan?
Pengesanan ialah proses menilai instrumen PBS yang bertujuan untuk:
1. Mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan kebolehlaksanaan instrumen pentaksiran.
2. Menilai kesahan dan kebolehpercayaan instrumen pentaksiran
3. Mencadangkan penambahbaikan instrumen pentaksiran
Pengesanan dilaksanakan oleh Pegawai Lembaga Peperiksaan atau pegawai yang dilantik oleh Lembaga Peperiksaan.

4.6
Bolehkah sekolah melaksanakan silang pemantauan dan silang penyelarasan dengan sekolah berhampiran untuk tujuan kebaikan bersama?
Sekolah boleh melakukan silang pemantauan dan silang penyelarasan dengan sekolah berhampiran kerana kerjasama tersebut boleh meningkatkan keberkesanan pelaksanaaan PBS.

5
SISTEM PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (SPPBS)

5.1
Apakah SPPBS?
SPPBS adalah aplikasi sistem yang dibangunkan oleh KPM untuk merekod dan menyimpan maklumat penguasaan murid dalam PBS. Laporan prestasi murid boleh dijana dari aplikasi SPPBS.

5.2
Bilakah guru boleh merekodkan pencapaian PS dan PAJSK murid dalam SPPBS?
Pencapaian PS boleh direkod pada bila-bila masa. Pencapaian PAJSK direkodkan berdasarkan jadual yang
ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan

5.3
Bagaimanakah pengurusan data murid yang berpindah dilaksanakan?
Maklumat murid pindah perlu dibatalkan dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) oleh guru sekolah asal. Data murid boleh diakses melalui SPPBS apabila guru di sekolah baharu mendaftar maklumat murid tersebut dalam APDM.

5.4
Bagaimanakah sekolah yang tidak mempunyai akses internet merekodkan data murid dalam SPPBS?
Kementerian juga menyediakan aplikasi SPPBS secara ‘stand alone’ untuk digunapakai oleh sekolah yang tidak mempunyai akses internet. CD ‘stand alone’ boleh diperoleh melalui JPN/PPD masing-masing.

ingin maklumat tentang PBS...layari laman web ini
http://www.moe.gov.my/lp



No comments:

Post a Comment